Saturday, December 27, 2014

Malaysia Dilanda Banjir 2014

Sungguh sedih rasa hati ini apabila menatap gambar-gambar banjir di Pantai Timur. Habis tenggelam semua rumah. Saya asyik memikirkan bagaimana kalau saya berada di tempat mereka? Bagaimana mahu memulakan kembali kehidupan apabila air surut nanti? 100% barang kelengkapan rumah pastinya rosak. Apakah saya punya kekuatan untuk menghadapi dugaan ini? Di saat saya menaip entry ini, diluar masih kedengaran rintik-rintik hujan. Sudah hampir tiga hari berturut-turut Bandaraya Johor Bahru dilimpahi hujan tanpa henti. Sebahagian kawasan di Johor juga sudah mula dinaiki air. Namun keadaan disini tidak seteruk saudara-saudara kita yang berada di Pantai Timur.

Saya yakin seluruh rakyat Malaysia turut bersimpati dengan apa yang terjadi. Pelbagai update di Facebook, ada yang benar dan ada yang palsu. Kita sebagai pembaca haruslah rasional dan jangan percaya membuta tuli apa yang diluahkan di FB. Seperti yang saya katakan tadi, ada yang benar dan tidak kurang pula yang palsu.
Keadaan Banjir di Temerloh, Pahang
Di sebalik rasa simpati, saya ingin menegur pengguna FB. Saya tahu pasti ada yang akan berkata saya tidak berada ditempat mereka, memanglah boleh cakap je. Viral di FB tentang mangsa-mangsa yang sudah beberapa hari tidak mendapat bantuan, kekurangan makanan dan sebagainya. Mereka kemudiannya menyalahkan pihak berkuasa tidak menjalankan tugas dengan sebaiknya, lambat menghantar bantuan dan sebagainya. Secara logiknya, jika mereka tahu di mana anda berada, pasti mereka akan segera menghulurkan bantuan. Namun, kita semua tahu banjir kali ini terlalu teruk, pihak-pihak yang ingin menghulurkan bantuan juga sukar mengenal pasti kedudukan sebenar mangsa-mangsa ini. Oleh itu, tidak adil jika kita menyalahkan mereka.

Bersabarlah, bantuan pasti datang. Yakinlah Allah sentiasa ada bersama kita untuk membantu dan berdoalah agar Allah akan menggerakkan hati para petugas untuk ke tempat anda bagi memberi bantuan. Saya ada juga melihat beberapa keping gambar, trak yang membawa pelbagai barangan bantuan karam sebelum sampai ke tempat yang mereka tuju. Hal ini kerana, mereka kurang arif dengan jalan-jalan dan tersasar dari landasan kerana tidak nampak jalan. Mereka sudah bergadai nyawa untuk membantu, maka sungguh tidak adil jika mereka dipersalahkan. Untuk keyboard warrior, daripada anda sibuk menyalahkan pelbagai pihak di laman sosial, adalah lebih baik anda menjadi sukarelawan dan membantu usaha-usaha murni bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Sekian sahaja luahan hati saya untuk kali ini.

Nur Azwa
27 Disember 2014, 11:17 pm

No comments:

Post a Comment