Monday, December 10, 2018

PENGORBANAN ANAK PERTAMA

Baru-baru ni saya selamat melahirkan anak kedua, Muhammad Fikry. Anak pertama, yang selesa digelar Abang Firas sering membuat saya rasa bersalah. Umur Firas ketika mendapat adik 3 tahun 9 bulan. Sudah pandai berkata-kata dan berfikir ikot logik akalnya.

Selama 3 tahun 9 bulan dia seorang sahaja permata hati mama dan ayah. Sering dimanja, dilayan dan disayangi. Setiap malam mama akan tidurkan abang. 24 jam bersama mama dan ayah tak pernah terpisah kerana mama dan ayah kerja dari rumah sahaja.

Namun segalanya berubah sejak mama mengandung. Di hujung kehamilan, mama sudah tidak mampu untuk melayan kerenah abang. Mama sudah tidak larat untuk tidurkan abang. Tetapi abang sering mengalah dan seolah memahami apabila mama katakan mama tidak sihat. Abang terus terlena keseorangan.

Rupanya setelah adik lahir, situasi ini berterusan. Mama banyak menghabiskan masa dengan adik. Mama tidak lagi memeluk abang, tidak lagi menidurkan abang. Abang tetap memahami, malah sangat sayangkan adik. Abang banyak menghabiskan masa meraih kasih ayah.

Mama rasa bersalah sangat. Suatu malam,hari ke-30 selepas kelahiran adik, mama lihat abang temenung keseorangan sebelum tidur menimbulkan rasa sebak dihati mama. Mama menghampiri abang, peluk abang dan pujuk abang untuk tidur. Pada masa tu mama dapat lihat wajah kegembiraan abang dan wajah kerinduan abang setelah beberapa bulan kena tidur sendiri. Mama bertambah sebak apabila mendengar kata-kata abang,

"Mama pergilah kat adik, adik tinggal dengan ayah tu. Pergilah tidur dengan adik."

Betapa memahaminya anak mama ni. Terima kasih abang kerana selalu memahami mama walaupon mama selalu garang dengan abang.

Pada malam berikutnya, mama nak tidurkan abang lagi. Mama betul-betul sedih tengok abang tidur sorang-sorang di penjuru tilam. Mama pujuk abang untuk tidur tapi pada malam tu abang tak boleh tidur. Mungkin kerana masih awal. Tidak lama selepas itu kedengaran suaraadik mula merengek meminta susu. Mama menggesa abang segera tidur sebelum adik menangis lebih kuat. Namun sekalilagi mama terkesima dengan kata-kata abang,

" Mama pergilah kat adik. Adik nangis tu nak mama. Abang nak tidur. Mama pergilah."

Ya Allah sungguh murni hati abang. Mama coretkan disini semoga suatu hari nanti adik dan abang berpeluang membaca coretan mama ni.

Abang terima kasih menjadi anak mama yang terbaik.
Adik sayangilah abang, abang dah berkorban untuk adik seawal usia 3 tahun lagi.

Mama anak dua,
Nur Azwa

No comments:

Post a Comment